Bantuan tambahan PKS bakal diumum minggu hadapan

perusahaan kecil dan sederhana pks
Pemberian pinjaman khas tanpa faedah, kenaikan subsidi upah dan pengecualian cukai pendapatan antara yang diharapkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui bantuan tambahan yang akan diumumkan selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) minggu hadapan.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong, berkata cadangan itu adalah usaha yang dapat membantu PKS terus bertahan dalam persekitaran yang amat mencabar ketika ini.

Beliau berkata, pihaknya sudah memberi cadangan kepada kerajaan bagaimana untuk membantu PKS memastikan aliran tunai mereka berjalan dengan baik supaya boleh terus membayar kos perniagaan, termasuk gaji pekerja.

Katanya, persatuan itu mencadangkan diwujud pinjaman khas kepada PKS untuk digunakan dalam perbelanjaan tetap perniagaan seperti pembayaran gaji, sewa premis dan bil utiliti sekurang-kurangnya untuk enam bulan.

“PKS boleh mengambil pinjaman ini untuk digunakan membayar perbelanjaan tetap dalam perniagaan. Katakan sebulan mereka perlu RM10,000, maka enam bulan RM60,000 sahaja diperlukan dan kerajaan boleh bantu sediakan dana ini.

“Dana ini juga seboleh-bolehnya tidak dikenakan faedah kerana bagaimana mereka mahu membayar ketika tiada pendapatan pada masa ini.

“Dengan cara ini sekurang-kurangnya PKS boleh terus menggajikan pekerja dan memastikan tiada yang akan dibuang,” katanya.

Mengulas lanjut, Hua Keong berkata, pihaknya juga berharap kadar Subsidi Upah RM600 dapat dinaikkan kepada sekurang-kurangnya RM1,200, selain syarat yang dikenakan sebelum ini ditarik balik.

Katanya, mengikut statistik Jabatan Perangkaan, secara purata gaji pekerja di Malaysia ialah RM2,308, maka daripada angka itu pihaknya merasakan kadar Subsidi Upah yang wajar ialah 50 peratus daripada jumlah berkenaan iaitu kira-kira RM1,200.

“Kita juga berharap kerajaan longgarkan syarat kepada perusahaan mikro yang mewakili 76 peratus atau lebih 700,000 syarikat di Malaysia, dalam memohon bantuan pinjaman daripada kerajaan.

“Ia termasuk keperluan menyerahkan dokumen seperti gaji pekerja dan bukti bayaran sewa kerana menyusahkan mereka yang rata-rata tiada dokumen sedemikian.

“Pada masa sama, kami berharap pertimbangan kerajaan memberikan bantuan secara ‘lump sum’ sebagai contoh RM5,000 kepada peniaga mikro yang ketika ini kehilangan sumber pendapatan bagi membolehkan mereka terus membayar gaji dan sewa premis,” katanya.

Beliau berkata, persatuan juga mencadangkan kerajaan mengecualikan cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tahun ini.

Katanya, berdasarkan tinjauan pihaknya, 82 peratus PKS menjangka akan kerugian tahun ini kerana tiada pendapatan, manakala 15 peratus pula anggap pulang modal atau ‘break even’.

“Jika dicampurkan kedua-duanya, 97 peratus PKS dijangka tidak boleh membayar cukai pendapatan akibat kerugian.

“Lebih baik dikecualikan terus, yang boleh dilihat sebagai rangsangan kepada PKS untuk bekerja lebih kuat selepas ini dan seterusnya membayar cukai pendapatan untuk tahun depan,” katanya.

Persatuan itu turut memohon pengurangan atau penangguhan bayaran statutori atau caruman majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada PKS.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, malam kelmarin berkata kerajaan akan menambah baik bantuan yang akan diberikan kepada PKS bagi menangani masalah kewangan kesan pandemik COVID-19 yang berterusan.

Katanya, berita baik itu akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas semua hasil mesyuarat pada peringkat kementerian, dibawa kepada EAC.

Sumber: Berita Harian

Komen/Pandangan Anda