Utama » Info » Kadar Zakat Fitrah 2023 Bagi Seluruh Negeri

Kadar Zakat Fitrah 2023 Bagi Seluruh Negeri

Zakat fitrah hukumnya adalah wajib ke atas semua individu dari kalangan lelaki, wanita, tua, muda, hamba atau merdeka yang mempunyai lebihan atau cukup perbelanjaan sehingga hari raya Aidil Fitri.

Anak perempuan yang masih belum berkahwin masih dianggap di bawah tanggungan bapanya. Namun begitu, jika anak perempuan tersebut ingin membayar sendiri zakat fitrahnya maka dia perlu meminta keizinan dari bapanya terlebih dahulu. Begitu juga pelajar yang sedang menuntut di universiti dan seumpamanya jika mempunyai lebihan wang perlu membayar zakat fitrah jika tidak dibayarkan oleh orang tua mereka.

Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi S.A.W memfardhukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap manusia Muslim (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa zakat fitrah ini wajib dikeluarkan oleh setiap umat Islam. Cuma para fuqaha menetapkan yang afdal menunaikan fitrah ialah orang yang wajib atasnya memberi nafkah seperti suami, bapa atau atuk yang menjaga dan membesarkan cucunya. Secara mudahnya orang yang bertanggungjawab menanggung perbelanjaan dan urusan memberi nafkah keluarga.

Sumber rasmi: zakat.com.my

Baca juga: Tarikh Bayaran Gaji Penjawat Awam 2023

Waktu Bayaran Zakat Fitrah

Terdapat tiga waktu membayar zakat fitrah di dalam Islam yang boleh dijadikan panduan bagi setiap pembayar zakat, berikut adalah waktu membayar zakat:

  • Waktu Wajib: Mazhab Syafie mengikut yang azhar dan Hanbali berpendapat bahawa waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya). Ia juga pendapat sebahagian Mazhab Maliki.
  • Waktu Sunat: Mazhab Syafie berpendapat sunat dikeluarkannya sebelum solat hari raya dan makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.
  • Waktu Haram: Al-Hasan bin Ziyad dari ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti hari korban. Justeru siapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat Mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali. Tetapi tetap wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira sedekah. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya.

Kadar Zakat Fitrah 2023

Berikut merupakan kadar zakat fitrah yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam setiap negeri kepada setiap individu seluruh negeri di Malaysia bagi tahun 2023 bersamaan 1444 Hijrah.

Untuk makluman, kadar bayaran zakat fitrah akan ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Kadar bayaran tersebut mungkin berbeza di antara negeri kerana kaedah penentuan bayaran zakat fitrah dibuat berdasarkan harga dan gred beras semasa.

Sebaik-baiknya, adalah digalakkan agar membayar zakat ini seawal mungkin agar agihan dapat dilakukan kepada golongan yang layak sebelum menjelang Hari Raya Aidil Fitri.

NegeriKadar Zakat Fitrah 2023 (RM)
Perlis7.00
Kedah* 7.00 / 14.00 / 21.00
Pulau Pinang* 7.00 / 12.00 / 16.00
Perak* 7.00 / 14.00 / 21.00
Selangor* 7.00 / 14.00 / 21.00
Negeri Sembilan7.00
Melaka* 7.00 / 14.00
Johor* 7.00 / 10.00
Pahang7.00
Terengganu7.00
Kelantan* 7.00 / 14.00 / 21.00
Sarawak7.00
Sabah7.00
Wilayah Persekutuan* 5.00 / 7.00 / 14.00

* Kategori kadar zakat adalah berdasarkan harga gred atau jenis beras yang dimakan.

Pembayar boleh memilih kadar harga mengikut kemampuan atau kadar bayaran itu dipilih berdasarkan gred atau harga beras yang menjadi makanan harian mereka. Sebagai rujukan, sila lihat kepada maklumat berikut:

  1. RM5.00 – Beras Super Tempatan (10-15% hancur).
  2. RM7.00 – Beras Super Special Tempatan (5% hancur).
  3. RM10.00 / RM12.00 / RM14.00 / RM16.00 – Beras Super Import / Beras Perang / Beras Pulut / Herba Ponni / Beras Wangi / Beras Calrose / Beras Poney atau setara dengannya.
  4. RM21.00 – Beras Basmathi / Beras Jepun / Beras Merah.

Maklumat di atas akan dikemaskini dari semasa ke semasa, selamat menunaikan zakat fitrah.