Umum mengetahui penularan COVID-19 sudah menjadi pandemik, iaitu penyebarannya sudah merentasi sempadan negara.
Setakat 23 Mac 2020, virus itu merebak ke 189 negara dengan jumlah kes terkumpul 334,981 manakala jumlah kematian dicatatkan 14,652 orang.
Angka ini amat jauh berbeza sekali jika dibandingkan pada awal ia mula direkodkan. Pada 20 Januari lalu, jumlah kes COVID-19 ialah 282, manakala kematian enam orang yang semuanya dari Wuhan, China.
Ketika itu, hanya empat negara menghadapi masalah ini, iaitu China, Thailand, Jepun dan Korea Selatan.
Justeru, situasi semasa amat berbeza dari apa yang dijangkakan sebelum ini.
Semakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara bagi 2020 adalah daripada empat peratus kepada 0.4 peratus. Pada kadar pertumbuhan ini, ekonomi Malaysia dijangka menguncup sebanyak 1.1 peratus pada separuh tahun pertama 2020 sebelum mencatatkan pertumbuhan positif, iaitu sekitar 1.8 peratus pada separuh tahun kedua 2020.
Dipendekkan cerita, risiko untuk Malaysia mengalami kemelesetan semakin meningkat berikutan penularan wabak COVID-19 ini.
Bagaimana satu virus boleh menyebabkan kemelesatan? Mungkin ini persoalan bermain di setiap benak fikiran masyarakat Malaysia.
Suatu mikro-organisma yang tidak boleh dilihat mikroskop biasa mampu untuk mengganggu-gugat ekonomi global.
Jawapan sebenarnya adalah mudah. Ekonomi menjadi lumpuh.
Ini bermakna, kegiatan ekonomi tidak berlaku seperti biasa kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merencat pelbagai aktiviti.
Contohnya, masyarakat tidak boleh keluar sewenang-wenangnya dan ini memberi kesan kepada kegiatan kepenggunaan. Beberapa perniagaan perlu ditutup kerana hanya beberapa premis perniagaan sahaja boleh dibuka.
Pendek kata, sektor utama ekonomi seperti pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan beroperasi dalam kadar sangat minimum.
Kenapa perkara ini berlaku? Ini adalah kerana keutamaan sekarang menjaga dan memelihara tahap kesihatan masyarakat di seluruh negara. Tanpa rakyat sihat, bagaimana sesuatu ekonomi boleh berfungsi.
Justeru, adalah amat penting bagi kerajaan memastikan penularan wabak ini dikekang. Sekiranya PKP ini dilanjutkan, kesan kepada ekonomi akan menjadi lebih besar.
Oleh itu, adalah amat penting bagi semua rakyat di negara ini mematuhi arahan termaktub dalam PKP seperti penjarakan sosial dan sebagainya.
Dari sudut ekonomi pula, keutamaan seharusnya diberikan kepada golongan terbabit dalam sektor tidak formal yang mereka ini tidak mempunyai jaringan keselamatan sosial kukuh.
Bagi pekerja bergaji atau mereka yang berada dalam sektor formal, mereka mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di samping mempunyai kemudahan kesihatan.
Selain itu, mereka berpendapatan rendah perlu diambil kira terutama bagi mereka yang bekerja membabitkan bayaran kerja lebih masa atau bergaji harian.
Tindakan kerajaan membenarkan skim pengeluaran KWSP i-Lestari sebanyak RM500 sebulan selama 12 bulan adalah bertujuan memastikan masyarakat di negara ini untuk menyediakan keperluan asas seperti makanan, bayaran bil utiliti dan sewa rumah dapat dilunaskan dengan sebaiknya.
Berdasarkan kenyataan Perdana Menteri, skim itu bakal memberi manfaat kepada 12 juta ahli KWSP.
Setakat Disember 2019, jumlah ahli KWSP ialah 14.59 juta yang ahli aktif adalah 7.63 juta.
Berdasarkan anggaran penulis, jumlah ahli KWSP yang mungkin berada dalam sektor tidak rasmi ialah 4.37 juta setelah mengambil kira ahli yang bakal mendapat manfaat daripada skim pengeluaran i-Lestari, iaitu 12 juta dan ahli aktif, iaitu 7.63 juta.
Pada hemat penulis, mereka yang dianggap berada dalam sektor tidak rasmi dan mempunyai simpanan KWSP adalah mereka yang mungkin pernah bekerja bergaji dan mencarum di dalam KWSP.
Namun, mereka ini mungkin sudah berhenti kerja dan memulakan perniagaan sendiri.
Wang simpanan KWSP ini sememangnya tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya dan wang ini juga sudah pun meningkat nilainya hasil daripada kegiatan pelaburan KWSP yang menghasilkan dividen konsisten.
Mungkin ada mencemuh langkah ini menyebabkan simpanan hari tua dikorbankan bagi tujuan jangka masa pendek.
Namun, pengalaman penulis sendiri yang pernah ditanya penganggur berkenaan simpanan mereka di KWSP.
Soalan mereka tak lain tak bukan adakah simpanan mereka boleh dikeluarkan? Sudah tentu jawapan penulis ketika itu adalah tidak. Ini kerana setiap pengeluaran KWSP mempunyai skimnya dan tidak sewenang-wenang boleh dikeluarkan meskipun wang itu hasil titik peluh mereka sendiri.
Justeru dalam konteks semasa, tindakan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP sehingga RM500 sebulan selama 12 bulan adalah sesuatu yang wajar.
Sekurang-kurangnya dapatlah seseorang itu membelanjakan wang mereka dalam keadaan yang sukar sementara menunggu langkah seterusnya yang bakal diumumkan kerajaan.
Dalam al-Quran ada menyebut: “Kemudian sesudah itu akan datang tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit), kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan.” (Yusuf: 48)
Sehubungan itu, janganlah kita terus mencemuh. Sebaliknya menyokong usaha kerajaan bagi menangani penularan COVID-19 dan berharap krisis ini dapat diakhiri secepat yang mungkin. – Berita Harian